BAGAIKAN konsert. Itulah yang boleh dikatakan tentang persembahan mini yang juga aksi pertama kumpulan popular Korea, JYJ (Kim Jaejung, Park Yuchun, Kim Junsu) apabila berjaya memukau lebih 4,000 peminat yang hadir.
Walaupun terpaksa membayar tiket antara RM100 hingga RM800, ternyata ia bukan kekangan bagi peminat setia JYJ. Mereka sanggup berpanas di perkarangan Stadium Negara, Kuala Lumpur seawal pukul 1 petang walaupun persembahan dijadualkan bermula pukul 3 petang.
Biarpun hanya dihiburkan dengan lima buah lagu namun, para peminat JYJ yang hadir mengenakan pakaian berwarna merah serta membawa belon merah dilihat seakan puas apabila dihiburkan dengan lagu-lagu popular kumpulan itu serta aksi tarian yang memukau.
Persembahan singkat yang dibawa oleh penganjurnya Redstar Presents Sdn. Bhd., itu adalah sebagai salah satu usaha mempromosikan album sulung kumpulan pop popular Korea itu,The Beginning di rantau Asia.
Lagu-lagu yang terkandung dalam album yang hanya memuatkan lima buah lagu itu termasuklah Ayyy Girl, Be My Girl, Still In Love, Chak-Ar-Da dan Be The One.
Tidak fasih berbahasa Inggeris sedikit mencacatkan komunikasi antara JYJ dengan para peminat yang hadir namun, itu bukanlah menjadi persoalan besar bagi mereka.
"Terima kasih kepada peminat yang sudi meluangkan masa menyaksikan persembahan kami. Kami sayang anda semua,
"Kami gembira berada di sini sambil mempromosikan album kami The Beginning. Kehadiran anda semua amat kami hargai," itu kata-kata yang diluahkan oleh Yuchun mewakili rakan-rakannya.
Biarpun ini merupakan persembahan pertama JYJ ke Malaysia namun trio kacak itu, kini sedang dalam perancangan untuk mengadakan sebuah konsert di negara ini tidak lama lagi.
"Kami akan kembali lagi nanti. Mungkin musim panas tahun depan," kata Yuchun.
Musim panas (summer) di Korea sekitar bulan Jun dan Julai tahun depan.
Enegetik, tidak sombong dan kacak mungkin menjadikan JYJ cukup mudah dikenali terutamanya di kalangan peminat wanita.
Buktinya, pada persembahan yang berlangsung di Stadium Negara tempoh hari, rata-rata ruang dipenuhi oleh peminat wanita.
Menyingkap serba ringkas tentang JYJ, ketiga-tiga mereka sebenarnya anggota asal kumpulan Dongbangshinki, juga dikenali sebagai TVXQ yang mula mencipta nama sejak tahun 2003 di negara itu.
Salah satu kejayaan terbesar yang pernah dicipta oleh tiga anak muda itu ialah dua tahun berturut-turut (2008 dan 2009) melakar nama di Guinness Book Of Records kerana mempunyai keanggotaan kelab peminat teramai di dunia menghampiri 100,000 orang.
Kejayaan JYJ, kumpulan yang ditubuhkan sekitar 2009 itu cukup menyerlah apabila konsert sulung mereka yang dipentaskan di Tokyo Dome, Jun lalu berjaya menarik lebih 200,000 penonton.
Malah, rakaman konsert tersebut yang dijual dalam bentuk DVD mencipta satu lagi kejayaan iaitu antara jualan DVD terlaris di Jepun mencecah puluhan ribu unit.
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar ihsan REDSTAR PRESENTS
No comments:
Post a Comment